Thursday, October 25, 2012

HUKUMAN MATI 39B: KERAJAAN PERLU TEGAS

1.  Seluruh dunia tahu Malaysia amat tegas dalam kes penyalahgunaan dan pengedaran dadah. Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya yang membawa hukuman mati mandatori telah menjadikan Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang tidak berkompromi berhubung kes pengedaran dan penyalahgunaan dadah. 

2.  Ketegasan Kerajaan dalam menangani kes-kes seperti ini secara amnya disambut baik dan disokong oleh majoriti rakyat, demi memastikan rakyat, terutamanya golongan muda terhindar dari gejala penagihan dan pengedaran dadah.

3.  Disebabkan itu, bila DS Nazri Aziz membuat kenyataan bahawa hukuman mati terhadap pesalah dadah akan dikaji semula amat mengejutkan saya, dan saya pasti majoriti rakyat juga begitu.

4.   Alasan "dilakukan bertujuan menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia di luar negara seperti China, Columbia, Peru dan Venezuela yang berdepan hukuman mati akibat menjadi keldai dadah." agak sukar diterima kerana jika sekiranya Malaysia mahu bertegas, dan mahu kelihatan bertegas dalam isu ini, maka Malaysia harus konsisten, walaupun dalam kes-kes yang melibatkan rakyat Malaysia di luar negara. 

5.  Kerajaan harus memikirkan mana yang lebih utama, menjaga kesejahteraan, keselamatan dan masa depan majoriti rakyat (jumlahnya mencecah puluhan juta) atau mengorbankan prinsip dan pendirian demi menyelamatkan segelintir "mangsa yang tertipu", kononnya tidak menyedari mereka dijadikan keldai dadah.

6.  Bercakap pasal "keldai dadah" ini, pandangan peribadi saya adalah : ADALAH MUSTAHIL MANA-MANA INDIVIDU, TANPA BANYAK SOAL, DAN/ATAU TANPA SEDIKITPUN KERAGUAN MERELAKAN DIRI MEREKA DIJADIKAN ALAT UNTUK MENGEDAR DADAH. APAKAH TIDAK SEDIKITPUN TIMBUL RASA CURIGA DAN SANGSI KETIKA DIMINTA UNTUK MEMBAWA DADAH TERSEBUT? APAKAH TIDAK TERFIKIR, DENGAN HANYA MEMBAWA BUNGKUSAN YANG TIDAK DIPASTIKAN ISINYA, DAPAT PULA HABUAN YANG BEGITU LUMAYAN? Jawapannya : MUSTAHIL TIDAK TAHU DAN/ATAU SEDAR. Dan sekarang, bila tertangkap, bila dalam kesusahan, Kerajaan pula yang perlu menghabiskan masa, tenaga, wang ringgit dan segala sumber yang ada untuk menyelamatkan mereka ini? Saya rasa ini TIDAK ADIL kepada majoriti rakyat yang selama ini begitu kuat menyokong ketegasan kerajaan (kecuali SUARAM).

7.  Kerajaan tidak perlu melakukan sesuatu yang bakal dipandang sebagai "mengarut". "The Government's Credibility Is At Stake". Jangan kerana ingin mendapatkan pengiktirafan dunia, atau ingin menepati syarat-syarat perjanjian perdagangan dengan blok Eropah dsb, kita sanggup melacurkan prinsip dan ketegasan kita yang didokong sekian lama. Rakyat melihat, dan dalam diam "menghakimi" Kerajaan. Rakyat ingin berdiri tegak, sama tinggi dengan bangsa lain di dunia. Rakyat mahu bermegah, mahu berbangga Malaysia diiktiraf dunia. Rakyat mahu menunjukkan ke seluruh dunia bahawa, AKU RAKYAT MALAYSIA, NEGARA HEBAT & BERPENDIRIAN TEGAS, tapi KAMI TIDAK MAHU pengiktirafan dunia hasil daripada kelemahan Kerajaan yang tunduk kepada tekanan luar dan SUARAM.

8.  Disebabkan itu, Seksyen 39B, Akta dadah Merbahaya perlu dikekalkan. Sebarang usaha untuk mengkaji semula, apatah lagi membatalkan undang-undang tersebut, perlulah diberhentikan segera, demi keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat terbanyak.

9.  Kerajaan jangan pula terlalu "people friendly" sehinggakan sanggup menggadai apa saja demi pilihanraya. 

 

 

No comments:

Post a Comment